SIMPULAN BAHASA MELAYU TENTANG BAHAGIAN KEPALA
A. Tujuan Penggunaan
Simpulan bahasa adalah satu ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataan yang membentuknya. Sebagai contoh, simpulan bahasa telinga kuali, tidak bermaksud menggambarkan telinga yang dimiliki oleh kuali. Orang yang dikatakan mempunyai atau bertelinga kuali adalah merujuk kepada sifat seseorang yang tahan hati walaupun dimarahi dan dimaki hamun oleh orang lain. Orang seperti ini dianggap tahan kepada segala cemuhan dan kejian orang di sekelilingnya. Masyarakat Melayu tradisional kuat berpegang pada adat. Perumpamaan Melayu yang berbunyi biar mati anak jangan mati adat, menggambarkan tatalaku yang bersopan santun dan tidak menyinggung perasaan orang lain adalah satu perkara yang sangat diambil berat oleh seseorang yang hidup dalam masyarakat Melayu. Tatalaku masyarakat yang disepakati bersama menghalang anggota masyarakat mengkritik dan memperkatakan sesuatu terutamanya tentang sikap dan sifat seseorang secara berterus terang. Anggota masyarakat telah bersepakat untuk tidak akan saling menyinggung perasaan sesama mereka. Sesuatu yang ingin disampaikan boleh diungkapkan dengan menggunakan bahasa yang diistilahkan sebagai bahasa berlapik iaitu bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara tidak langsung. Mereka menggunakan bahasa dengan pemilihan perkataan yang dipilih khas untuk menyatakan sesuatu yang tidak baik dengan harapan perkara atau hal-hal yang disampaikan itu walaupun bersifat negatif akan dapat diterima tanpa menimbulkan kesan emosi yang berlebihan. Dengan hanya menggunakan dua atau tiga perkataan, masyarakat Melayu dapat menggambar dan mengungkapkan sesuatu seperti sikap, keadaan, gelaran dan sebagainya dengan cara yang tersendiri. Dalam keadaan yang tertentu, simpulan bahasa digunakan dalam pantun dan syair.
B. Contoh Simpulan Bahasa
(i) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Kepala
1. Kepala Angin Orang yang berubah-ubah perangainya (ada kalanya baik dan ada kalanya pula meradang). 2. Kepala Batu Keras hati (tidak mahu menurut kata, nasihat atau tunjuk ajar orang lain).
3. Berat Kepala Tidak tajam fikirannya, akalnya tidak lekas memahami.
4. Kepala Dingin Penyabar (tenang, tidak lekas marah).
5. Kepala Dua Orang yang menyebelahi dua atau beberapa pihak (tidak menyokong atau setia kepada satu pihak sahaja).
6. Kepala Kongsi Ketua kumpulan penjahat.
7. Kepala Mayat Bahagian harta pusaka yang diterima oleh balu si mati.
8. Kepala Ribut Orang yang menimbulkan (atau memulakan) kekacauan.
9. Kepala (Otak) Udang Bodoh; tolol.
10. Kepala Pusing Banyak masalah; bingung.
11. Kepala (Otak) Kancil Bijak; pandai
12. Kepala Arwah Hidangan istimewa (bahagian utama dalam kenduri arwah).
13. Kepala Daerah Orang (pegawai) yang mengetuai daerah (desa; kampung dan sebagainya).
14. Kepala Negara Ketua negara (seperti raja; presiden).
15. Kepala Sekolah Guru besar; pengetua
16. Jual Kepala Membuat sesuatu hanya untuk faedah orang lain.
17. Ringan Kepala Mudah memahami (faham) ajaran
18. Besar Kepala Orang yang bongkak
(ii) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Mulut
1. Mulut Berus a) suka membuka rahsia; b) suka mengeluarkan kata-kata yang kesat-kesat
2. Mulut Bisa Suka mengeluarkan kata-kata yang pedas
3. Mulut Gatal Gemar memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah terutama tentang orang lain
4. Mulut Hodoh Suka mencarut-carut
5. Mulut Kotor Suka mengeluarkan kata-kata yang keji
6. Mulut Manis Lemah lembut dan baik tutur katanya
7. Mulut Murai Orang yang suka bercakap-cakap yang kadang kalanya dianggap tidak berfaedah.
8. Mulut Tajam a) suka mengeluarkan kata-kata yang pedas b) mengata orang secara berterus terang
9. Mulut Bergetah Hal-hal yang diperkatakannya sering kali terbukti (terjadi).
10. Mulut Bocor Tidak boleh menyimpan rahsia
11. Mulut Buaya Ucapan yang belum tentu kebenarannya (kerana diucapkan oleh penipu atau penjahat dengan tujuan memperdaya wanita)
12. Mulut Harimau Bahaya besar; kesukaran besar
13. Mulut Rambang Banyak cakap
14. Mulut Tempayan Tidak boleh menyimpan rahsia
15. Mulut Masin Apa yang dinyatakannya selalu terjadi atau terbukti
16. Bermulut bocor Banyak bercakap
17. Bermulut besar Suka bercakap besar dan bersikap sombong.
18. Bermulut Karung Banyak makan; rakus
19. Bermulut Pinjaman Suka berkata-kata tanpa memprdulikan perasaan orang lain.
20. Mulut Rampas Suka memaki-maki
21. Berat Mulut Mendiamkan diri/tidak banyak bercakap
22. Bawa Mulut a) datang hanya untuk bercakap-cakap dan makan b) suka mengata / menggosip
23. Banyak Mulut Banyak cakap; cerewet
24. Bermulut Keras Berkeras kepala (suka melawan)
(iii) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Mata
1. Mata Cemperling Mata yang merah warnanya kerana marah.
2. Mata Duitan Tamak akan wang
3. Mata Gawai Pembantu kepada seseorang
4. Mata Gelap Mngamuk; hilang pertimbangan kerana marah.
5. Mata Gergaji Orang yang suka bermuka-muka (dengan kedua-dua belah pihak).
6. Mata Hati Perasaan hati
7. Mata Jalan Penunjuk jalan
8. Mata kayu Tidak tahu menulis atau membaca (buta huruf)
9. Mata Keranjang Suka melihat perempuan; lelaki miang
10. Mata Petai a) mata yang tidak dapat melihat dengan betul b) tidak melihat dengan teliti
11. Mata Telinga Ganti diri sendiri atau wakil peribadi.
12. Mata Batin Perasaan dalam hati; perasaan yang paling dalam.
13. Mata Betung a) buta huruf b) bodoh 14. Berat Mata Mengantuk
15. Gelap Mata Hilang pertimbangan kerana wang
16. Mata-Mata Polis
17. Mata-Mata Gelap Detektif (polis rahsia)
18. Mata Air Kekasih
19. Main Mata a) mengerling-ngerling (menjelingkan mata dengan tujuan memikat seseorang) b) memberi isyarat dengan mata
20. Mata Kotak Orang yang tidak tahu memilih mana yang baik dan mana yang buruk.
21. Mata Pencarian Pekerjaan yang dibuat untuk menyara hidup
22. Cahaya Mata a) kekasih; buah hati b) anak
23. Rambang Mata Tidak tahu yang mana satu yang hendak dipilih (kerana terdapat terlalu banyak pilihan).
(iv) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Telinga
1. Telinga Kuali Orang yang tahan hati walaupun dimarahi dan dimaki oleh orang lain.
2. Telinga Nipis Orang yang mudah tersinggung dan lekas marah.
3. Telinga Tempayan Orang yang tidak suka mendengar apa yang diperkatakan oleh orang lain.
4. Bertelinga lembut a) bodoh; kurang pandai b) pemurah; suka menolong apabila mendengar kesusahan orang lain.
5. Bertelinga Merah Orang yang sedang dalam keadaan marah; kesal
6. Bertelinga Tebal Tidak perasa (orang yang tidak berasa apa-apa walaupun disindir).
7. Berat Telinga a) pekak b) kurang teliti mendengar
8. Pasang Telinga Mendengar; mengintip
(v) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Hidung
1. Kena Batang Hidung Kecaman; sindiran dan sebagainya tepat mengenai seseorang
2. Tidak Nampak Hidung Tidak kelihatan langsung kerana tidak hadir; tidak pernah muncul (dalam majlis atau oleh rakan-rakan).
3. Hidung Belang Lelaki yang sangat suka mengganggu perempuan; memikat perempuan
4. Hidung Tinggi Sombong dan suka memegah diri
5. Hidung Panjang Mendapat malu
C. Bila atau Keadaan Penggunaan simpulan Bahasa
Simpulan bahasa Melayu digunakan oleh masyarakat Melayu dalam bahasa pertuturan dan penulisan. Dalam masyarakat tradisional, simpulan bahasa digunakan secara aktif dalam bahasa pertuturan kerana faktor bersopan santun adalah ciri utamanya. Secara umumnya simpulan bahasa Melayu digunakan untuk menggambarkan perkara-perkara bersifat positif dan negatif. Beberapa contoh simpulan bahasa yang digunakan untuk menggambarkan keadaan-keadaan tertentu adalah seperti berikut:
(i) Simpulan Bahasa yang Mengggambarkan Aspek Positif
(a) Perangai Baik
1. Kepala Angin Penyabar (tenang, tidak lekas marah).
2. Mulut Manis Lemah lembut dan baik tutur katanya.
3. Telinga Kuali Orang yang tahan hati walaupun dimarahi dan dimaki hamun oleh orang lain.
4. Bertelinga Lembut Pemurah, suka menolong apabila mendengar tentang kesusahan orang lain.
(b) Kecerdasan Otak
1. Kepala (Otak) Kancil Bijak atau pandai.
2. Ringan Kepala Mudah memahami (faham) ajaran.
(c) Kedudukan / Pangkat
1. Kepala Daerah Orang (pegawai) yang mengetuai daerah (kampung, mukim dan sebagainya.
2. Kepala Negara Ketua negara (seperti raja dan presiden).
(d) Kelebihan / Kebolehan
1. Mulut Bergetah Hal-hal yang diperkatakannya sering kali terbukti (terjadi).
2. Mulut Masin Apa yang diperkatakannya selalu terjadi atau terbukti (kadang-kadang boleh bersifat negatif).
(e) Perasaan / Isi Hati
1. Mata Hati Perasaan hati.
2. Mata Batin Bahagian batin yang paling dalam, perasaan dalam hati.
(f) Nama atau Gelaran
1. Mata Gawai Pembantu kepada seseorang.
2. Mata Jalan Penunjuk jalan (dalam pengembaraan dan sebagainya).
3. Cahaya Mata Kekasih; buah hati; anak.
(ii) Simpulan Bahasa yang Menggambarkan Aspek Negatif
(a) Perangai Negatif
1. Kepala Angin Orang yang berubah-ubah perangainya (ada kalanya baik dan ada kalanya pula meradang).
2. Mulut Gatal Gemar memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah terutamanya tentang diri orang lain.
3. Mata Duitan Tamat akan wang.
4. Pasang Telinga Mendengar perbualan orang lain dengan tujuan mengintip.
5. Hidung Belang Lelaki yang sangat suka mengganggu perempuan.
(b) Kecerdasan Otak
1. Berat Kepala Tidak tajam fikirannya, akalnya, tidak cepat memahami.
2. Mata Betung Buta huruf; bodoh
(c) Tidak Amanah
1. Kepala Dua Orang yang menyembelahi dua atau beberapa pihak (tidak menyokong atau setia kepala satu pihak sahaja).
2. Mulut Berus Suka membuka rahsia atau keaiban orang lain.
3. Mulut Bocor Tidak boleh menyimpan rahsia.
(d) Gambaran Keadaan
1. Kepala Pusing Banyak masalah; binggung
2. Gelap Mata Mengamuk, hilang pertimbangan kerana marah.
(e) Gambaran Sifat
1. Kepala Kongsi Ketua kumpulan penjahat.
2. Mulut Buaya Ucapan atau kata-kata yang belum tentu kebenarannya (kerana diucapkan oleh orang yang dikenali sebagai penipu atau penjahat).
(f) Kelemahan Diri
1. Jual Kepala Membuat sesuatu hanya untuk faedah orang lain.
2. Berat Mulut Mendiamkan diri, tidak suka berbual-bual (bukan kerana sombong).
3. Mata Petai Tidak melihat dengan teliti.
4. Berat Mata Mudah atau lekas mengantuk.
5. Telinga Nipis Orang yang mudah tersinggung dan lekas marah.
(g) Kesan Negatif terhadap Diri Sendiri
1. Kena Batang Hidung Suka mengecam, menyindir dan sebagainya akhirnya kena (berbalik) kepada diri orang yang bercakap.
2. Tidak Nampak Hidung Tidak kelihatan langsung kelibat seseorang (kerana tidak hadir atau tidak pernah muncul di sesuatu tempat atau majlis).
C. Kesimpulan
Simpulan bahasa merupakan khazanah bahasa dan kesusasteraan Melayu yang tidak ternilai. Dalam masyarakat moden, penggunaan simpulan bahasa dan bahasa-bahasa kiasan lainnya seperti peribahasa, gurindam dan sebagainya semakin berkurangan. Hal ini berlaku kerana tatalaku masyarakat sudah mula berubah. Masyarakat moden tidak lagi suka berselindung dengan kata-kata tetapi lebih suka berterus terang dan terbuka. Walaupun demikian, dalam beberapa keadaan yang melibatkan adat istiadat bahasa-bahasa berlapik ini masih tetap digunakan.
Dipetik daripada Penyelidikan bertajuk “Pengkajian Simpulan Bahasa Mengenai Anggota Badan dalam Beberapa Bahasa” terbitan Pusat Bahasa, UKM (43/93), susunan bersama Rusdi Abdullah, Thaiyibah Sulaiman, Anne Lutgen, Hashim Hanapiah, Koh Young Hun, Norizan Abdul Razak, Sharifah Zainab Sy Mohd Khalid, T’ng Chia Kiu Choon, Tan Poh Choon, Tong Sem Ting, dan Vanjuree Sriadulpan.
|