31.8.05

Simpulan Bahasa: Makna yang Tersirat

SIMPULAN BAHASA MELAYU TENTANG BAHAGIAN KEPALA

A. Tujuan Penggunaan

Simpulan bahasa adalah satu ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataan yang membentuknya. Sebagai contoh, simpulan bahasa telinga kuali, tidak bermaksud menggambarkan telinga yang dimiliki oleh kuali. Orang yang dikatakan mempunyai atau bertelinga kuali adalah merujuk kepada sifat seseorang yang tahan hati walaupun dimarahi dan dimaki hamun oleh orang lain. Orang seperti ini dianggap tahan kepada segala cemuhan dan kejian orang di sekelilingnya.
Masyarakat Melayu tradisional kuat berpegang pada adat. Perumpamaan Melayu yang berbunyi biar mati anak jangan mati adat, menggambarkan tatalaku yang bersopan santun dan tidak menyinggung perasaan orang lain adalah satu perkara yang sangat diambil berat oleh seseorang yang hidup dalam masyarakat Melayu.
Tatalaku masyarakat yang disepakati bersama menghalang anggota masyarakat mengkritik dan memperkatakan sesuatu terutamanya tentang sikap dan sifat seseorang secara berterus terang. Anggota masyarakat telah bersepakat untuk tidak akan saling menyinggung perasaan sesama mereka.
Sesuatu yang ingin disampaikan boleh diungkapkan dengan menggunakan bahasa yang diistilahkan sebagai bahasa berlapik iaitu bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara tidak langsung. Mereka menggunakan bahasa dengan pemilihan perkataan yang dipilih khas untuk menyatakan sesuatu yang tidak baik dengan harapan perkara atau hal-hal yang disampaikan itu walaupun bersifat negatif akan dapat diterima tanpa menimbulkan kesan emosi yang berlebihan.
Dengan hanya menggunakan dua atau tiga perkataan, masyarakat Melayu dapat menggambar dan mengungkapkan sesuatu seperti sikap, keadaan, gelaran dan sebagainya dengan cara yang tersendiri. Dalam keadaan yang tertentu, simpulan bahasa digunakan dalam pantun dan syair.

B. Contoh Simpulan Bahasa

(i) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Kepala

1. Kepala Angin
Orang yang berubah-ubah perangainya (ada kalanya baik dan ada kalanya pula meradang).


2. Kepala Batu
Keras hati (tidak mahu menurut kata, nasihat atau tunjuk ajar orang lain).


3. Berat Kepala
Tidak tajam fikirannya, akalnya tidak lekas memahami.


4. Kepala Dingin
Penyabar (tenang, tidak lekas marah).


5. Kepala Dua
Orang yang menyebelahi dua atau beberapa pihak (tidak menyokong atau setia kepada satu pihak sahaja).


6. Kepala Kongsi
Ketua kumpulan penjahat.


7. Kepala Mayat
Bahagian harta pusaka yang diterima oleh balu si mati.


8. Kepala Ribut
Orang yang menimbulkan (atau memulakan) kekacauan.


9. Kepala (Otak) Udang
Bodoh; tolol.


10. Kepala Pusing
Banyak masalah; bingung.


11. Kepala (Otak) Kancil
Bijak; pandai


12. Kepala Arwah
Hidangan istimewa (bahagian utama dalam kenduri arwah).


13. Kepala Daerah
Orang (pegawai) yang mengetuai daerah (desa; kampung dan sebagainya).


14. Kepala Negara
Ketua negara (seperti raja; presiden).


15. Kepala Sekolah
Guru besar; pengetua


16. Jual Kepala
Membuat sesuatu hanya untuk faedah orang lain.


17. Ringan Kepala
Mudah memahami (faham) ajaran


18. Besar Kepala
Orang yang bongkak


(ii) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Mulut

1. Mulut Berus
a) suka membuka rahsia;
b) suka mengeluarkan kata-kata yang kesat-kesat


2. Mulut Bisa
Suka mengeluarkan kata-kata yang pedas


3. Mulut Gatal
Gemar memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah terutama tentang orang lain


4. Mulut Hodoh
Suka mencarut-carut


5.
Mulut Kotor Suka mengeluarkan kata-kata yang keji


6. Mulut Manis
Lemah lembut dan baik tutur katanya


7. Mulut Murai
Orang yang suka bercakap-cakap yang kadang kalanya dianggap tidak berfaedah.


8. Mulut Tajam
a) suka mengeluarkan kata-kata yang pedas
b) mengata orang secara berterus terang


9. Mulut Bergetah
Hal-hal yang diperkatakannya sering kali terbukti (terjadi).


10. Mulut Bocor
Tidak boleh menyimpan rahsia


11. Mulut Buaya
Ucapan yang belum tentu kebenarannya (kerana diucapkan oleh penipu atau penjahat dengan tujuan memperdaya wanita)


12. Mulut Harimau
Bahaya besar; kesukaran besar


13. Mulut Rambang
Banyak cakap


14. Mulut Tempayan
Tidak boleh menyimpan rahsia


15. Mulut Masin
Apa yang dinyatakannya selalu terjadi atau terbukti


16. Bermulut bocor
Banyak bercakap


17. Bermulut besar
Suka bercakap besar dan bersikap sombong.


18. Bermulut Karung
Banyak makan; rakus


19. Bermulut Pinjaman
Suka berkata-kata tanpa memprdulikan perasaan orang lain.


20. Mulut Rampas
Suka memaki-maki


21. Berat Mulut
Mendiamkan diri/tidak banyak bercakap


22. Bawa Mulut
a) datang hanya untuk bercakap-cakap dan makan
b) suka mengata / menggosip


23. Banyak Mulut
Banyak cakap; cerewet


24. Bermulut Keras
Berkeras kepala (suka melawan)


(iii) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Mata

1. Mata Cemperling
Mata yang merah warnanya kerana marah.


2. Mata Duitan
Tamak akan wang


3. Mata Gawai
Pembantu kepada seseorang


4. Mata Gelap
Mngamuk; hilang pertimbangan kerana marah.


5. Mata Gergaji
Orang yang suka bermuka-muka (dengan kedua-dua belah pihak).


6. Mata Hati
Perasaan hati


7. Mata Jalan
Penunjuk jalan


8. Mata kayu
Tidak tahu menulis atau membaca (buta huruf)


9. Mata Keranjang
Suka melihat perempuan; lelaki miang


10. Mata Petai
a) mata yang tidak dapat melihat dengan betul
b) tidak melihat dengan teliti


11. Mata Telinga
Ganti diri sendiri atau wakil peribadi.


12. Mata Batin
Perasaan dalam hati; perasaan yang paling dalam.

13. Mata Betung
a) buta huruf
b) bodoh


14. Berat Mata
Mengantuk


15. Gelap Mata
Hilang pertimbangan kerana wang


16. Mata-Mata
Polis


17. Mata-Mata Gelap
Detektif (polis rahsia)


18. Mata Air
Kekasih


19. Main Mata
a) mengerling-ngerling (menjelingkan mata dengan tujuan memikat seseorang)
b) memberi isyarat dengan mata


20. Mata Kotak
Orang yang tidak tahu memilih mana yang baik dan mana yang buruk.


21. Mata Pencarian
Pekerjaan yang dibuat untuk menyara hidup


22. Cahaya Mata
a) kekasih; buah hati
b) anak


23. Rambang Mata
Tidak tahu yang mana satu yang hendak dipilih (kerana terdapat terlalu banyak pilihan).


(iv) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Telinga

1. Telinga Kuali
Orang yang tahan hati walaupun dimarahi dan dimaki oleh orang lain.


2. Telinga Nipis
Orang yang mudah tersinggung dan lekas marah.


3. Telinga Tempayan
Orang yang tidak suka mendengar apa yang diperkatakan oleh orang lain.


4. Bertelinga lembut
a) bodoh; kurang pandai
b) pemurah; suka menolong apabila mendengar kesusahan orang lain.


5. Bertelinga Merah
Orang yang sedang dalam keadaan marah; kesal


6. Bertelinga Tebal
Tidak perasa (orang yang tidak berasa apa-apa walaupun disindir).


7. Berat Telinga
a) pekak
b) kurang teliti mendengar


8. Pasang Telinga
Mendengar; mengintip


(v) Simpulan Bahasa Melayu Berkaitan Hidung

1. Kena Batang Hidung
Kecaman; sindiran dan sebagainya tepat mengenai seseorang


2. Tidak Nampak Hidung
Tidak kelihatan langsung kerana tidak hadir; tidak pernah muncul (dalam majlis atau oleh rakan-rakan).


3. Hidung Belang
Lelaki yang sangat suka mengganggu perempuan; memikat perempuan


4. Hidung Tinggi
Sombong dan suka memegah diri


5. Hidung Panjang
Mendapat malu


C. Bila atau Keadaan Penggunaan simpulan Bahasa

Simpulan bahasa Melayu digunakan oleh masyarakat Melayu dalam bahasa pertuturan dan penulisan. Dalam masyarakat tradisional, simpulan bahasa digunakan secara aktif dalam bahasa pertuturan kerana faktor bersopan santun adalah ciri utamanya.
Secara umumnya simpulan bahasa Melayu digunakan untuk menggambarkan perkara-perkara bersifat positif dan negatif. Beberapa contoh simpulan bahasa yang digunakan untuk menggambarkan keadaan-keadaan tertentu adalah seperti berikut:

(i) Simpulan Bahasa yang Mengggambarkan Aspek Positif

(a) Perangai Baik

1. Kepala Angin
Penyabar (tenang, tidak lekas marah).


2. Mulut Manis
Lemah lembut dan baik tutur katanya.


3. Telinga Kuali
Orang yang tahan hati walaupun dimarahi dan dimaki hamun oleh orang lain.


4. Bertelinga Lembut
Pemurah, suka menolong apabila mendengar tentang kesusahan orang lain.

(b) Kecerdasan Otak

1. Kepala (Otak) Kancil
Bijak atau pandai.


2. Ringan Kepala
Mudah memahami (faham) ajaran.

(c) Kedudukan / Pangkat

1. Kepala Daerah
Orang (pegawai) yang mengetuai daerah (kampung, mukim dan sebagainya.


2. Kepala Negara
Ketua negara (seperti raja dan presiden).

(d) Kelebihan / Kebolehan

1. Mulut Bergetah
Hal-hal yang diperkatakannya sering kali terbukti (terjadi).


2. Mulut Masin
Apa yang diperkatakannya selalu terjadi atau terbukti (kadang-kadang boleh bersifat negatif).

(e) Perasaan / Isi Hati

1. Mata Hati
Perasaan hati.


2. Mata Batin
Bahagian batin yang paling dalam, perasaan dalam hati.

(f) Nama atau Gelaran

1. Mata Gawai
Pembantu kepada seseorang.


2. Mata Jalan
Penunjuk jalan (dalam pengembaraan dan sebagainya).


3. Cahaya Mata
Kekasih; buah hati; anak.

(ii) Simpulan Bahasa yang Menggambarkan Aspek Negatif

(a) Perangai Negatif

1. Kepala Angin
Orang yang berubah-ubah perangainya (ada kalanya baik dan ada kalanya pula meradang).


2. Mulut Gatal
Gemar memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah terutamanya tentang diri orang lain.


3. Mata Duitan
Tamat akan wang.


4. Pasang Telinga
Mendengar perbualan orang lain dengan tujuan mengintip.


5.
Hidung Belang
Lelaki yang sangat suka mengganggu perempuan.

(b) Kecerdasan Otak

1. Berat Kepala
Tidak tajam fikirannya, akalnya, tidak cepat memahami.


2. Mata Betung
Buta huruf; bodoh

(c) Tidak Amanah

1. Kepala Dua
Orang yang menyembelahi dua atau beberapa pihak (tidak menyokong atau setia kepala satu pihak sahaja).


2. Mulut Berus
Suka membuka rahsia atau keaiban orang lain.


3. Mulut Bocor
Tidak boleh menyimpan rahsia.

(d) Gambaran Keadaan

1. Kepala Pusing
Banyak masalah; binggung


2. Gelap Mata
Mengamuk, hilang pertimbangan kerana marah.

(e) Gambaran Sifat

1. Kepala Kongsi
Ketua kumpulan penjahat.


2. Mulut Buaya
Ucapan atau kata-kata yang belum tentu kebenarannya (kerana diucapkan oleh orang yang dikenali sebagai penipu atau penjahat).

(f) Kelemahan Diri

1. Jual Kepala
Membuat sesuatu hanya untuk faedah orang lain.


2. Berat Mulut
Mendiamkan diri, tidak suka berbual-bual (bukan kerana sombong).


3. Mata Petai
Tidak melihat dengan teliti.


4. Berat Mata
Mudah atau lekas mengantuk.


5. Telinga Nipis
Orang yang mudah tersinggung dan lekas marah.

(g) Kesan Negatif terhadap Diri Sendiri

1. Kena Batang Hidung Suka mengecam, menyindir dan sebagainya akhirnya kena (berbalik) kepada diri orang yang bercakap.

2. Tidak Nampak Hidung
Tidak kelihatan langsung kelibat seseorang (kerana tidak hadir atau tidak pernah muncul di sesuatu tempat atau majlis).

C. Kesimpulan

Simpulan bahasa merupakan khazanah bahasa dan kesusasteraan Melayu yang tidak ternilai. Dalam masyarakat moden, penggunaan simpulan bahasa dan bahasa-bahasa kiasan lainnya seperti peribahasa, gurindam dan sebagainya semakin berkurangan. Hal ini berlaku kerana tatalaku masyarakat sudah mula berubah. Masyarakat moden tidak lagi suka berselindung dengan kata-kata tetapi lebih suka berterus terang dan terbuka. Walaupun demikian, dalam beberapa keadaan yang melibatkan adat istiadat bahasa-bahasa berlapik ini masih tetap digunakan.



Dipetik daripada Penyelidikan bertajuk “Pengkajian Simpulan Bahasa Mengenai Anggota Badan dalam Beberapa Bahasa” terbitan Pusat Bahasa, UKM (43/93), susunan bersama Rusdi Abdullah, Thaiyibah Sulaiman, Anne Lutgen, Hashim Hanapiah, Koh Young Hun, Norizan Abdul Razak, Sharifah Zainab Sy Mohd Khalid, T’ng Chia Kiu Choon, Tan Poh Choon, Tong Sem Ting, dan Vanjuree Sriadulpan.







0 Comments:

Post a Comment

<< Home