30.3.05

Tiga Kategori Kata Bahasa Melayu - Indonesia

Adalah silap jika sesiapa menganggap bahawa bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia merupakan bahasa yang sama. Bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia sekurang-kurangnya memiliki tiga perbezaan yang sangat ketara iaitu; 1. rujukan yang sama tetapi kata berbeza, 2. kata yang mengalami perbezaan bunyi, dan 3. kata yang sama tetapi mempunyai maksud yang berbeza. Tanpa disangka, kedua-dua bahasa sudah sampai ke tahap saling keliru terutamanya apabila bercakap dan berbual tentang keilmuan. Kedua-dua pengguna bahasa tidak mampu lagi berbincang sesama sendiri tanpa bantuan bahasa Inggeris. Adakah bahasa kita terlalu 'miskin kata' atau kita tidak merancang bahasa kita sebaik-baiknya untuk kebaikan bersama? Rupa-rupanya ratusan ribu istilah yang digubal oleh MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia) tidak menjadi istilah wajib dalam bidang keilmuan di Indonesia. Akibatnya ribuan pelajar pascasarjana Indonesia mengalami 'kejutan bahasa' apabila melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia. Keadaan yang sama pasti dialami juga oleh para pelajar Malaysia di Indonesia. Jika ini keadaannya, adakah boleh kita mempercayai bahawa buku-buku akademik kedua-dua negara mampu dibaca oleh para ilmuan kedua-dua negara untuk berkongsi idea? Kita tidak boleh memandang satu-satu isu berdasarkan sudut pandangan politik semata-mata dalam hal perkembangan bahasa. Jika tidak, anak cucu kita pasti akan tersenyum sinis andai kata kita masih menggunakan ungkapan bahawa kita berasal daripada rumpun bahasa dan budaya yang sama.