11.5.05

Kecekapan Menulis dalam Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Asing

PENGENALAN

Kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis sangat penting untuk menguasai satu-satunya bahasa. Kemahiran bertutur dan menulis merupakan kemahiran yang diperlukan untuk menyampaikan isi hati atau fikiran. Kemahiran mendengar dan membaca pula ialah kemahiran yang diperlukan untuk menerima luahan isi hati atau memahami fikiran seseorang dalam satu-satu komunikasi bahasa.

Bahasa dibahagikan kepada dua iaitu bahasa lisan dan bahasa tulisan. Bahasa lisan ialah bahasa yang disampaikan dengan menggunakan cara bercakap dan diterima dengan cara mendengar. Manakala bahasa tulisan disampaikan dengan cara menulis atau mengarang bahasa dengan menggunakan symbol atau aksara dan diterima dengan cara membaca.

Seseorang pelajar bahasa yang dianggap cekap berkomunikasi dalam bahasa Melayu adalah seorang yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan tentang bahasa tersebut tetapi juga mengetahui system bahasa secara mendalam dan menggunakan bahasa itu secara spontan sesuai dengan peraturan penggunaan bahasa tersebut. Oleh yang demikian, setiap orang yang ingin mempelajari dan menguasai sesuatu bahasa mestilah mampu menguasai empat aspek kemahiran bahasa iaitu mendengar (dan memahami), bertutur, membaca, dan menulis. Pengetahuan tentang sistem bahasa dan nilai-nilai kesusilaan bahasa dalam konteks sosio budaya mesyarakat penutur bahasa tersebut penting untuk membantu mempercepatkan proses pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran bahasa akan bertambah cepat dan mudah jika aspek-aspek budaya dan kesusasteraan penutur asli sesuatu bahasa disertakan untuk meningkatkan kemahiran behasa.

Penekanan kepada kemahiran menulis adalah sangat penting kerana kemahiran tersebut merupakan satu kemahiran yang paling penting dipelajari. Azman Wan Chik dalam bukunya Pengujian Bahasa: Kes Bahasa Melayu (1994) menyatakan bahawa daripada keempat-empat kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis), kemahiran menulis merupakan kemahiran yang paling kompleks. Objektif utama kursus bahasa Melayu yang diajar sebagai kemahiran berbahasa adalah untuk menghasilkan para pelajar yang cekap dalam keempat-empat kemahiran bahasa.


BAHASA ASING

Bahasa asing menurut Kamus Linguistik susunan Harimurti Kridalaksana (1983), merujuk kepada bahasa yang dipelajari oleh seseorang melalui pendidikan formal, dan secara sosio-budayanya tidak dianggap sebagai bahasa sendiri. Bahasa asing menurut Brown (dalam Zulkifley Hamid bertajuk Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua, 1998) juga merujuk kepada bahasa kedua iaitu bahasa baru yang dipelajari secara formal setelah seseorang bahasawan tersebut menguasai bahasa ibundanya.

Hermann dalam Dictionary of Language and Linguistics (1972) menyatakan bahawa bahasa asing ialah mana-mana bahasa yang bukan bahasa penutur sendiri atau bahasa ibunda. Bahasa asing bukan bahasa yang biasanya dipelajari dengan cara berinteraksi dalam zaman kanak-kanak tetapi dipelajari dalam pengajaran bahasa yang formal. Richard dalam buku bertajuk Error Analysis in Second Language Strategies (1985) mentakrifkan bahasa sing sebagai satu bahasa yang bukan merupakan bahasa asli (native language) dalam negara yang berkenaan. Bahasa asing biasanya dipelajari sama ada secara berkomunikasi dengan petutur bahas tersebut atau membaca bahan bercetak dalam bahasa tersebut.

Bermula pada Semester I Sesi 1992/93, para pelajar asing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang datang dari negara-negara yang tidak menggunakan bahasa Melayu dan tidak mahir menggunakan bahasa Melayu diwajibkan mengambil dan lulus Kursus Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Asing sebagai prasyarat untuk disahkan lulus dalam pengajian peringkat siswazah masing-masing.


PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ASING

Kebanjiran pelajar asing yang datang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) di Malaysia semakin ketara. Lanjutan daripada itu, Akta Pendidikan Malaysia Pindaan 1995 secara jelas menyatakan bahawa Bahasa Melayu juga wajib diajarkan kepada semua pelajar warganegara asing yang mengikuti pengajian di IPTS. Pengajaran tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan tentang aspek dasar bahasa Melayu seperti system bunyi dan ejaan, tatabahasa asas, perbualan ringan, aspek sosiolinguistik, membaca dan memahami bahan yang mudah, dan menulis.

Pelajar bahasa asing yang berada pada tahap usia dewasa dianggap telah melewati tempoh kritis dalam proses belajar bahasa terutamanya dalam penguasaan aspek bunyi (fonologi) tetapi mereka mempunyai kelebihan dalam mempelajari aspek-aspek yang lain. Pengetahuan dalam bahasa ibunda yang mereka miliki dapat membantu mempercepatkan proses pembelajaran seperti menganalisa aspek pembentukan kata (morfologi), struktur ayat (sintaksis) dan makna kata (semantic) bahasa yang baru mereka pelajari.

Berdasarkan pendapat tersebut, kelemahan pelajar dewasa dalam menguasai keempat-empat kemahiran bahasa boleh diatasi dengan cara mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada dan diselesaikan dengan kaedah latih tubi.


SAMPEL KAJIAN

Tulisan ini merujuk kepada satu kajian tentang kemahiran menulis sekumpulan pelajar siswazah asing (pelajar dewasa) pada akhir Kursus Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Asing II, Semester II, Sesi 2000/01 di Fakulti Pengajian Bahasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.


KAEDAH KAJIAN

Ujian penulisan ini ditadbir dengan menggunakan satu soalan penulisan berpandu yang mengandung empat keping gambar yang berurutan. Gambar tersebut telah dibincangkan di dalam kelas sebelum ujian tersebut ditadbir bertujuan untuk membolehkan para pelajar mempelajari kosakata yang penting yang diperlukan untuk penulisan karangan tersebut.


UJIAN PENULISAN


Berdasarkan pemerhatian dan ujian penulisan yang ditadbir, kebolehan para pelajar asing dalam kemahiran menulis adalah berbeza-beza kerana mereka menghadapi pelbagai masalah dalam bidang tatabahasa dan pemilihan perkataan.

Hal ini berlaku kerana dalam proses pembelajaran bahasa asing atau kedua, kesalahan pelajar dipengaruhi oleh beberapa faktor (Richard dan Sampson dalam Zulkefley, 1998). Antara factor yang penting ialah pemindahan bahasa (transfer), ganguan interlangual, kesan-kesan situasi yang berbentuk sosiolinguistik dan sistem-sistem linguistik pelajar tidak stabil.

Menurut Corder dalam buku Introducing Applied Linguistics (1973), pengajaran bahasa asing atau kedua berlaku dalam situasi formal, bahan-bahan pengajarannya perlu dirancang supaya bersesuaian dengan keperluan pelajar bahasa kedua. Adalah menguntungkan jika terdapat ciri-ciri yang sama dengan sistem fonologi, kosakata dan struktur bahasa ibunda (B1) dan bahasa kedua (B2) yang dipelajarinya. Pembelajaran bahasa kedua selalunya diganggu oleh bahasa ibunda. Pelajar bahasa kedua tidak dapat memahami perbezaan dan persamaan kedua-dua bahasa tersebut dan pelajar akan cenderung memindahkan kebiasaan B1 ke dalam pembelajaran bahasa asing.



KESALAHAN BAHASA

Secara ringkas, beberapa kesalahan bahasa telah dapat dikenal pasti berdasarkan penelitian terhadap skrip ujian penulisan pelajar. Antara contoh kesalahan bahasa tersebut ialah:

1. Ejaan
(a) Tidak menguasai sistem ejaan bahasa Melayu.
(b) Salah eja kerana kata dieja mengikut kebiasaan sebutan yang dipengaruhi oleh bahasa ibunda. Contohnya; manangah (menengah), olang (orang), bagi (pagi), dan lain-lain.
(c) Tidak dapat mendiskriminasikan bunyi-bunyi kata.

2. Imbuhan
(a) Tidak menguasai sistem ejaan bahasa Melayu dan imbuhan kata kerja.
(b) Salah menggunakan imbuhan aktif dan pasif.

3. Kata tugas
(a) Salah tempat.
(b) Salah guna.
(c) Mengabaikan penggunaan kata tugas dalam ayat.

4. Kata penjodoh bilangan
(a) Tidak menggunakan penjodoh bilangan.
(b) Salah menggunakan kata penjodoh bilangan.

5. Pola ayat dasar
(a) Binaan ayat yang terbalik.
(b) Tidak memahami konsep binaan frasa terutamanya frasa adjektif yang dipengaruhi oleh struktur binaan frasa adjektif bahasa Inggeris.

6. Pemilihan kata
(a) Pemilihan kata berdasarkan terjemahan langsung bahasa Inggeris - Melayu dari kamus tanpa memahami konteks penggunaannya.
(b) Kata yang digunakan tidak sesuai dengan konteks ayat dan sosiolinguistik.
(c) Tidak mempunyai pengetahuan tentang kosa kata bahasa Melayu yang cukup.

7. Ayat
(a) Ayat tergantung, kabur atau tidak difahami sama sekali.
(b) Ayat negatif menggunakan imbuhan pasif.
(c) Ayat pasif menggunakan imbuhan aktif.

8. Sumber rujukan
Kebanyakan pelajar menggunakan kamus bahasa Inggeris – Melayu yang sangat ringkas dan tidak bermutu.

9. Faktor sekeliling
Kebanyakan penutur bahasa Melayu terutamanya di lingkungan akademik lebih mengutamakan bahasa Inggeris menyebabkan pelajar bahasa asing hilang peluang untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu.


KESIMPULAN

Kelemahan pelajar dalam kemahiran menulis dapat diatasi dengan cara memberi lebih penekanan kepada kemahiran mendengar, bertutur dan membaca pada peringkat awal. Kecekapan dalam ketiga-tiga kemahiran tersebut dan pengetahuan yang cukup tentang tatabahasa serta sosiolinguistik bahasa Melayu akan dapat membantu pelajar menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Kelemahan yang dikesan dalam kemahiran menulis dapat memberi gambaran tentang kemahiran, bahagian-bahagian dalam tatabahasa dan aspek bahasa yang perlu diberi penekanan oleh tenaga pengajar untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam bahasa Melayu.


LAMPIRAN: AYAT KAJIAN


CONTOH AYAT DALAM PENULISAN


Berikut diberikan beberapa contoh ayat yang dihasilkan oleh para pelajar yang dipetik daripada skrip jawapan ujian penulisan yang telah ditadbir kepada para pelajar.

1. Saya melihat dua orang di gambar-gambar di sini.
Saya melihat dua orang (budak) di (dalam) gambar-gambar di situ (itu).


2. Mereka kebaya
3. Mereka suka kekasih sangat