14.4.05

Ada Apa dengan Bahasa Melayu?


“Tiada orang Melayu, termasuk golongan yang disebut ‘nasionalis bahasa Melayu’ yang membenci atau menentang bahasa Inggeris. Yang ditentang ialah usaha, secara sedar atau tidak, oleh pihak-pihak tertentu, untuk mengembalikan kuasa bahasa Inggeris sebagai bahasa penjajah di negara ini, seperti yang berlaku semasa Tanah Melayu dijajah oleh British. ‘Nasionalis bahasa Melayu’ hari ini kebanyakannya menguasai bahasa Inggeris dengan cekap, mungkin lebih baik dan lebih cekap daripada pihak yang menuduh mereka. Dikatakan bahawa orang Melayu ‘akan rugi’ jikalau mereka tidak mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tetapi tidak ditanyakan, apakah untungnya? Tidak difikirkan soal, apakah atau bagaimanakah orang Melayu akan rugi jikalau mereka mengetahui sains dalam bahasa Melayu”.

Dato’ Hassan Ahmad
Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

Petikan daripada ucaptama
Seminar Kebangsaan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia,
13 April 2005

11.4.05

Sukarkah Berbahasa?


Bagi kebanyakan pelajar di universiti, mengikuti kursus kemahiran bahasa sering dianggap sebagai sesuatu yang tidak penting. Malahan ada yang menganggap masa yang diperuntukkan untuk kursus-kursus bahasa akan mengganggu fokus mereka kepada bidang pengajian mereka masing-masing. Tidak sedikit pula yang mengeluh dengan pertanyaan “Apa perlunya kursus kemahiran bahasa untuk bidang pengajian saya?” Betulkah tidak ada gunanya belajar bahasa pada peringkat tertinggi?

Bahasa bukanlah alat untuk berkomunikasi dalam kehidupan harian semata-mata. Keperluan menguasai bahasa sangat penting kerana seseorang sentiasa mahu memberitahu dan diberitahu tentang sesuatu hal. Tanpa kemahiran berbahasa, seseorang tidak akan dapat mengetahui apa-apa yang tidak diketahui walaupun terdapat begitu banyak sumber ilmu di sekelilingnya dan tidak akan dapat memberitahu apa-apa pun kepada orang lain walaupun ada ilmu yang hendak disebarkannya. Hakikat ini sejajar dengan pendapat bahawa seseorang yang berilmu mestilah mempunyai keahlian atau sekurang-kurangnya mempunyai kemahiran dalam sekurang-kurangnya satu bahasa ilmu pengetahuan. Di dunia ini adalah banyak sekali bahasa ilmu pengetahuan yang boleh dikuasai. Bahasa Melayu ialah salah satu daripadanya.

Ada tiga tahap yang dapat menunjukkan penguasaan seseorang dalam bahasa. Tahap tersebut ialah kebolehan berbahasa, kemahiran berbahasa dan keahlian berbahasa.
a) Kebolehan berbahasa digunakan oleh seseorang untuk berkomunikasi dalam kehidupan sehari-hari. Dengan kata lain, bahasa hanya digunakan sebagai alat untuk memperkenalkan diri serta menyesuaikan diri dengan lingkungan kehidupan sehariannya.
b) Seseorang yang menjadikan bahasa sebagai alat untuk menyampai dan menerima ilmu pengetahuan, wajib menempatkan dirinya ke tahap mahir berbahasa. Ketidakmahiran berbahasa akan menghalang seseorang mengenal pasti intisari ilmu yang mahu dikuasainya dan tidak akan mampu menyampaikan ilmunya kepada orang lain kerana apa yang diujarkannya tidak dapat difahami.
c) Keahlian berbahasa adalah tahap tertinggi seseorang dalam satu-satu bahasa. Pada peringkat ini, pengguna bahasa telah mampu memahami hubungan bahasa dengan budaya penutur jati bahasa tersebut kerana bahasa sering disebut sebagai jiwa bangsa penuturnya. Selain itu mampu pula menguasai bidang ilmu bahasa iaitu fanologi (bunyi), morfologi (pembentukan kata), semantik (makna kata) dan sintaksis (struktur ayat) serta bidang tatabahasa yang menjadikan bahasa tersebut tersusun dan beraturan.

Seorang pelajar (bukan bidang ilmu bahasa) terutamanya pada peringkat tertinggi, mestilah meletakkan dirinya dalam tahap mahir berbahasa. Kenyataan tentang seorang pelajar hanya akan berjaya dengan cemerlang jika menguasai bahasa pengantar ilmu pengetahuannya tidak boleh dinafikan. Penguasaan bahasa oleh seorang pelajar berdasarkan kemampuan setakat tahap kebolehan berbahasa sahaja tidak akan mencukupi. Banyak yang tidak akan dapat diserap oleh pemikirannya dan banyak pula idea dan pemikiranya yang tidak dapat diungkapkan olehnya.

Kemahiran berbahasa sebagai alat pengantar dan komunikasi dalam ilmu pengetahuan boleh dilihat berdasarkan kecekapan seseorang dalam bahasa tersebut. Kecekapan sosiolinguistik (bahasa masyarakat), kecekapan linguistik (peraturan ilmu bahasa), kecekapan strategik (keberkesanan berbahasa) dan kecekapan wacana (kebolehfahaman dalam berbahasa). Keempat-empat kecekapan ini wajib dikuasai untuk mencapai matlamat mendapatkan ilmu pengetahuan. Secara ringkas, kepentingan kecekapan-kecekapan tersebut dapat diterangkan seperti berikut:
1) Kecekapan sosiolinguistik menuntut mengguna bahasa memahami peranan bahasa tersebut dalam masyarat penuturnya. Sebagai contoh yang mudah, mengapakah dalam bahasa Melayu terdapat beberapa kata ganti diri untuk orang pertama, kedua dan ketiga? Bilakah kita menggunakan kata ganti nama saya dan aku semasa berinteraksi? Pengguna bahasa mesti mengambil kira keadaan semasa ketika menggunaan kata itu dan dengan siapa lawan bicaranya. Orang yang tidak mengambil berat tentang perkara ini akan terperangkap dalam satu situasi yang dinamakan kebiadapan berbahasa. Apakah riaksi seorang professor di universiti jika seorang pelajarnya memberi alasan kerana lambat masuk ke kelas dengan ungkapan “Maaf kerana aku terlambat’. Tiada kesalahan yang mewajarkan satu tindakan didiplin boleh diambil terhadap pelajar tersebut tetapi adalah pasti, pihak yang mendengar ungkapan tersebut beranggapan pelajar tersebut tidak menghormati si profesor. Dapatkah kita membayangkan apa reaksi profesor tersebut terhadap pelajarnya itu? Kalau tidak marah, pasti beliau akan tersinggung kerana berasa tidak dihormati.
2) Kecekapan linguistik wajib ada pada setiap orang untuk mendapatkan satu bahasa yang berstruktur dan baku. Pengguna bahasa mesti memastikan bunyi satu-satu perkataan tepat apabila menuturkannya. Kata lawat (kunjungi) mestilah disebut dengan jelas supaya bunyinya tidak menjadi liwat (sodomi) kerana kedua-dua kata itu mempunyai erti yang jauh berbeza. Kalau ada orang yang berkata, "Saya akan meliwat pameran buku di PWTC." Orang yang mendengar pula pasti akan memperhatikan penutur ayat tersebut dari hujung rambut hingga hujung kaki! Kata yang dibentuk sebagai kata terbitan mesti sesuai dengan maksud ayatnya. Sebagai contoh, ayat “Kebakaran itu berlaku di Sumatera” berbeza dengan “Pembakaran itu berlaku di Sumatera”. Ayat pertama membawa maksud tentang keadaan yang berlaku di Sumatera sedangkan ayat kedua membawa maksud satu aksi atau perbuatan yang dilakukan di Sumatera. Ketepatan makna kata dalam ayat juga sangat penting. Dalam bahasa Melayu, kata bantu harus dan mesti ada perbezaannya. Kata harus bermaksud sesuatu yang digalakkan sementara kata mesti bermaksud sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Dalam erti kata lain, kata mesti sama dengan wajib. Oleh yang demikian ayat yang berbunyi “Awak harus/mesti pergi ke seminar tersebut” akan difahami dalam dua kefahaman. Dalam mana-mana bahasa, pengetahuan tatabahasa adalah satu perkara yang wajib diketahui. Dalam ilmu bahasa, seorang pengguna bahasa mesti mampu menguasai dan mampu menggunakan kata nama, kata kerja, kata sifat, kata tugas (kata sendi nama, kata bantu, kata penjodoh bilangan, kata penguat dan lain-lain) dan penggunaan imbuhan dengan baik. Selain itu bahasa bentuk tulisan mestilah tidak mengabaikan peraturan tanda-tanda baca seperti tanda titik, koma, huruf besar dan sebagainya untuk melengkapkan bentuk bahasa yang beraturan.
3) Kecekapan strategik bermaksud kebolehan seseorang mencapai matlamat dalam penggunaan bahasanya. Dalam bahasa, terdapat beberapa bentuk yang digunakan bertujuan untuk mencapai matlamat tertentu.
a) Pengguna bahasa boleh gunakan neka bahasa, iaitu satu bentuk bahasa yang digunakan sesuai dengan keadaan semasa komunikasi bahasa berlaku. Jika kita tidak gunakan neka manja dengan suami atau isteri, bagaimanakah kita boleh mendapat perhatian daripadanya dan bagaimanakah kasih sayang hendak kekal lama?
b) Laras bahasa sangat penting diperhatikan. Seorang pegawai perubatan tidak akan dapat menerangkan tentang penyakit yang dihidapi oleh pesakitnya dengan jelas jika beliau menggunakan laras bahasa perubatan (ilmiah) kerana pesakitnya tidak faham istilah bidang perubatan yang digunakan.
c) Bahasa yang lebih baik dan berkesan menuntut pengguna bahasa menguasai retorik bahasa iaitu satu pengetahuan yang mendalam tentang perkataan yang tepat untuk mengungkapkan perkara atau tajuk tertentu. Kalau nak memberi nasihat, pilih perkataan yang sopan untuk melembutkan hati seseorang supaya dia mendengar apa yang kita katakan. Kalau tidak, kita akan dianggap membebel dan marah-marah. Oleh yang demikian, orang yang dinasihati mungkin bersifat pasif dan menentang.
d) Frasa atau ayat mestilah betul ragamnya pengucapannya. Tentulah akan timbul masalah jika kita memuji seseorang tetapi nada suara kita seperti menyindir!
4) Kecekapan wacana berkaitan dengan kemampuan seseorang menghasilkan satu tulisan. Kemahiran menulis secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa seorang pengguna bahasa tersebut telah sampai ke tahap yang tertinggi dalam berbahasa. Seseorang hanya akan mahir menulis setelah mampu mendengar, bertutur dan membaca dengan baik dalam satu-satu bahasa. Seseorang boleh mengetahui sama ada dia telah mencapai tahap kecekapan wacana atau tidak berdasarkan tahap kefahaman pembaca terhadap apa yang ditulisnya. Dalam proses penulisan, seorang penulis yang baik mestilah juga meletakkan dirinya sebagai pembaca untuk mengetahui sama ada apa-apa yang disampaikannya dalam tulisan itu mampu difahami oleh pembaca atau tidak. Penulis yang mampu bertindak sebagai penulis dan pembaca sekali gus, dapat mengetahui sama ada ideanya bernas, pilihan katanya tepat serta sesuai untuk pembaca sasarannya, ayat yang ditulisnya lengkap maksudnya atau tidak.

Perbincangan di atas boleh membantu kita menilai kemampuan diri sendiri dan keberkesanan bahasa kita. Tidak sedikit orang yang sebenarnya berada pada tahap setakat boleh berbahasa sahaja tetapi tidak mahu berusaha untuk meningkatkan kemahirannya. Jika pengguna sentiasa mengambil berat tentang hal-hal di atas, persoalan tentang mengapa pengucapan lisan kita selalu disanggah dan penulisan kita sukar difahami akan terjawab.